"Mahu atau tidak, dua pingat emas daripada skuad badminton negara adalah wajib."

Itu tegas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berhubung kepentingan pungutan emas daripada skuad badminton menjelang Sukan SEA Filipina, November depan.

Dua emas wajib dibawa pulang skuad badminton negara seperti mana yang telah diputuskan dalam sasaran Sukan SEA tahun ini.

Shapawi nyata tidak berminat untuk terus berkompromi walaupun menyedari aksi dalam Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland umpama bayangan jelas tiada lagi tugasan mudah buat skuad badminton negara.

"Sukan SEA kami tidak boleh letak sasaran luar daripada dua emas. Kalau Sukan SEA tidak ditetapkan sasaran, maka tidak perlulah lakukan perkara sama dalam saingan lebih tinggi," katanya.

Susulan kegagalan wakil kebangsaan membawa pulang sebarang emas sepanjang Kejohanan Dunia, bulan lalu, ia mempengaruhi pemerhati badminton negara yang mula meragui kemampuan pemain Malaysia di peringkat Asia Tenggara.

Namun, Shapawi masih menyimpan kepercayaan dengan kemampuan yang dimiliki skuad badminton negara walaupun peningkatan prestasi pemain tampak hambar.

"Sepatutnya ada sasaran dan dua emas itu masih ditetapkan buat kem badminton. Jadi, mereka perlu dapatkannya sekiranya mahu ke Olimpik."