'Final', itu harapan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai, buat juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam kejohanan berprestij Seluruh England.

Michelle mengakui ia bukan perkara mudah yang ingin dicapai walaupun mereka merupakan gandingan pilihan kedua bagi kejohanan tersebut.

"Prestasi mereka menjadi keutamaan. Hadir sebagai juara dunia dan merupakan pilihan kedua kejohanan, kami menjangkakan mereka akan ke final," kata Michelle.

"Bagaimanapun, itu hanya sekadar atas kertas, kerana segalanya bergantung kepada prestasi dalam hari kejohanan samada mereka akan menghadirkan permainan terbaik atau sebaliknya."

Sebelum ini, Aaron-Wooi Uik juga telah menyatakan bahawa Seluruh England merupakan kejohanan paling penting berbanding kejohanan lain ketika Jelajah Eropah.

Saingan Seluruh England kali ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik diundi bertemu dengan gandingan Indonesia, Daniel Marthin-Leo Rolly Carnando pada pusingan pertama.

Selain itu, Michelle turut bersetuju bahawa pintu di ABM sentiasa terbuka buat perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia.


Namun buat masa ini lebih baik ABM menumpukan perhatian dan tenaga terhadap pemain yang sedia ada berbanding perkara yang masih tidak pasti.

"Pintu sentiasa terbuka buat Zii Jia. Namun buat masa ini kami hanya memberikan realiti sebenar iaitu memberikan tumpuan kepada pemain di bawah naungan BAM terlebih dahulu."