Berpeluang berehat sehari selepas kemenangan 10-8 ke atas Kelab Badminton Ampang Jaya Sabtu lalu, Kelab Badminton Petaling tampil garang apabila menang 15-3 dalam pertemuan kedua menentang Pasukan Badminton Singapura.

Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou, membuka perjuangan dengan kemenangan selesa 3-0 ketika menundukkan pemain muda Singapura, Marcus Phil, di Stadium Malawati, sebentar tadi.

Liek Hou yang memegang 11 kejuaraan para dunia, bagaimanapun, bermula perlahan tapi masih mampu menyaingi tempo Phil untuk memenangi set pertama 11-9.

Liek Hou tampil lebih yakin dalam set kedua, tetapi Phil mengejutkan dengan meraih empat mata berturut-turut untuk mengikat kedudukan 9-9 sebelum Liek Hou menang 11-9.

Biarpun Phil memanjangkan jangka hayatnya di atas gelanggang, Liek Hou membuktikan bahawa dia lebih baik apabila mengawal situasi tegang di kedudukan 9-10 sebelum menang 11-9.

"Ini pertemuan pertama kami dan saya sempat memantau pertarungan membabitkannya semalam.

"Saya dapat curi beberapa mata dalam detik getir.

"Saya belum tahu taktiknya dalam set pertama, mungkin ia berbeza berbanding semalam.

"Kemudian saya mula dapat rentak dan menduga permainannya," katanya.




Selepas itu, wakil Petaling seterusnya iaitu perseorangan wanita dari Taiwan, Pai Yu-po memastikan penguasaan terhadap seorang lagi pemain muda Singapura, Megan Lee Xinyi.

Selepas menang set pertama 11-8, Yu-po terpedaya dengan permainan longgar Megan di pertengahan set untuk tewas 10-11.

Situasi hampir sama berlaku dalam baki dua set tetapi bezanya, kali ini Yu-po lebih berwaspada. sekali gus memberi Petaling pendahuluan 6-1.

Misi Petaling untuk mengekalkan momentum dilunaskan beregu lelaki, Goh V Shem-Low Juan Shen, ketika mengetepikan pula meyaksikan Loh Kean Hean-Donovan Wee.

Pengalaman V Shem-Juan Shen nyata menonjol menerusi permainan deras apabila menang 3-0 dengan keputusan 11-7, 11-9, 11-7.

"Kami dapat mengurangkan kesilapan pada hari ini.

"Memandangkan Loh Kean Yew memiliki kepantasan dan kekuatan, kami cuba mengelak mengangkat tinggi bulu tangkis dalam tiga pukulan pertama," kata V Shem.

Sementara itu, gandingan Ng Eng Cheong-Lai Pei Jing tidak berdepan masalah ketika membenam Johann Prajogo-Ho Lo Ee dalam acara beregu campuran sebelum pemain import, Brice Leverdez, melengkapkan kemenangan mereka, dengan kemenangan 3-2 ketika bertemu Lim Ming Hong.