Bekas perseorangan lelaki nombor satu dunia, Roslin Hashim, berpendapat keputusan Lee Zii Jia untuk berlatih selama seminggu bersama Viktor Axelsen dan Anders Antonsen di Denmark menjelang dua kejohanan bulan ini merupakan satu keputusan tepat.

Kelmarin, pemain di ranking keempat dunia itu mendedahkan perancangannya untuk berlatih bersama Axelsen dan Antonsen sebagai persediaan bagi menghadapi Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis bulan ini.

Bagi Roslin, ia sesuatu yang positif bagi mempertajamkan fokus Zii Jia sewaktu kejohanan selain dapat berlatih dengan rakan sepelatih yang berada di tahap tertinggi.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, Roslin berkata: "Kalau kita lihat, bukan Lee Zii Jia sahaja, ramai lagi pemain yang ke sana untuk mendapatkan rakan sepelatih.

"Kita juga tahu walaupun Lee Zii Jia mempunyai pasukannya sendiri, daripada segi rakan sepelatih, ia tidak terlalu kuat untuknya.

"Apabila dia sudah berada di tahap tertinggi, rakan sepelatih itulah yang paling penting.

"Apabila dia mendapatkan seorang rakan sepelatih yang berkualiti sudah semestinya ia amat penting untuk meningkatkan fokusnya.

"Mungkin dia juga tahu kelemahan dan punca kekalahannya, jadi apabila dia mendapatkan seorang rakan sepelatih dengan keamatan yang tinggi, dia dapat mengatasi masalahnya sewaktu dalam perlawanan," katanya.