Goh Jin Wei memastikan pingat emas menjadi miliknya selepas menewaskan rakan sepasukan, Soniia Cheah, dalam perlawanan akhir acara badminton perseorangan wanita Sukan SEA Ke-29 di Arena Axiata, KL Sports City, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Jin Wei selesa mendahului set pertama untuk menewaskan Soniia 21-11, dan sekali lagi mudah mengatasi lawannya itu 21-10 pada set kedua.

Kemenangan pingat emas dalam temasya ini membolehkan Jin Wei terus memegang status sebagai pemain terbaik wanita negara sementara Soniia memperoleh perak.

Acara perseorangan wanita tidak diletakkan harapan untuk meraih emas, namun semalam sejarah tercipta buat dua wakil negara itu apabila bertemu sesama sendiri dalam perlawanan akhir, seterusnya menamatkan penantian 14 tahun.

Kedua-duanya berjaya melepasi halangan sukar dalam separuh akhir apabila Soniia menumpaskan Gregoria Mariska Tunjung (Indonesia), manakala Jin Wei pula mengetepikan Pornpawee Chochuwong (Thailand) untuk mengesahkan emas dan perak acara itu milik Malaysia.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara itu ialah melalui Datin Wong Mew Choo di Ho Chi Minh, Vietnam pada 2003 selepas menumpaskan wakil Thailand, Salakjit Ponsana, dalam perlawanan akhir.

"Sebenarnya, saya tidak sangka dapat bermain dalam Sukan SEA kali ini kerana hanya beberapa minggu lalu, saya mengalami kecederaan pergelangan kaki.

"Saya juga tidak menjangka dapat memenangi kejuaraan ini. Saya fikir saya benar-benar bernasib baik," katanya.

"Saya gembira dapat menyumbang satu lagi pingat emas untuk Malaysia walaupun kontinjen negara sudah beroleh lebih 100 emas.

"Lebih penting, emas ini adalah buat semua orang yang menyokong kerjaya saya selama ini," tambahnya.

Gregoria dan Pornpawee masing-masing meraih pingat gangsa untuk acara itu.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.