Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dan menahan sebak ketika berdepan media selepas terpaksa menarik diri dalam Kejohanan Badminton Dunia, malam tadi.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, mendedahkan anak buahnnya itu menanggung kakinya yang melecet teruk ketika berdepan Anders Antonsen di peringkat suku akhir.

Lee membuka permainan dengan kemenangan 21-12 sebelum tewas kedua 8-21.

Dia akhirnya terpaksa menarik diri dalam set penentuan apabila ketinggalan 1-11 selepas 48 minit permainan berikutan tidak lagi mampu menampung derita.

Hendrawan berkata Zii Jia turun ke gelanggang dengan kecederaan yang teruk susulan kemenangannya ke atas Hans-Kristian Vittinghus dalam pusingan ketiga.

“Kakinya melecet dan sudah berdarah ketika dia mengalahkan Vittinghus sehari sebelumnya. Kami cuba merawatnya dan Lee mengadu sakit pada pagi perlawanannya menentang Antonsen. Kami menampal dan membalut kakinya yang melecet untuk mengurangkan kesakitan.

“Dia masih mampu memaksa dirinya untuk beraksi dalam set pertama tetapi tidak dalam set kedua. Selepas set kedua tamat, kakinya berdarah lagi dan walaupun mendapat rawatan daripada doktor (di tempat gelanggang) kesakitannya tidak dapat ditanggung lagi. Dia sudah cuba yang terbaik,” kata jurulatih itu.

Ini adalah kali ketiga Zii Jia menarik diri ketika beraksi pada musim ini selepas melakukannya dalam final Terbuka Hylo dan Indonesia Masters bulan lalu akibat kecederaan belakang.




Malaysia, bagaimanapun, masih berpeluang menjamin pingat melalui Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang menyingkirkan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi-lin, 12-21, 21-17, 21-15 untuk mara ke separuh akhir.

Beregu profesional itu bakal membuat perhitungan dengan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun untuk mengintai tiket ke final.

Kali terakhir beregu lelaki Malaysia mara ke final Kejohanan Dunia ialah menerusi Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong pada 2010.

Tiada pingat untuk pertemuan semula Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang gagal dalam usaha mereka untuk mara ke separuh akhir selepas kecundang 20-22, 14-21 kepada pasangan muda China, He Ji Ting-Tan Qiang.

Goh Soon Huat-Shevon Lai juga mudah dikalahkan 15-21, 13-21 oleh pilihan kedua Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, dalam beregu campuran.