Badminton Dunia BWF: Layak ke suku akhir dalam penampilan pertama beri Ee Wei pengalaman berharga

Muzaffar Musa
Ogos 29, 2023 11:52 MYT
Beregu campuran meningkat naik negara, Toh Ee Wei, berkata layak ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia BWF dalam penampilan pertamanya minggu lalu memberikan satu pengalaman berharga untuk menambah baik kualiti bersama pasangannya, Chen Tang Jie, bagi kejohanan akan datang.
Ee Wei dan Tang Jie mencipta kejutan apabila layak ke suku akhir kejohanan badminton terbesar itu menerusi penampilan pertama mereka di Copenhagen, Denmark sebelum perjuangan mereka ditamatkan pasangan nombor dua dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.
Mengulas mengenai perjalanannya sepanjang di Copenhagen, Ee Wei berkata kepada Astro Arena: "Dalam Kejohanan Dunia ini, saya rasa ada naik turunnya.
"Ia meningkatkan keyakinan kami tetapi sewaktu suku akhir, kami bermain kurang baik sehingga tewas kepada pasangan Jepun.
"Kami akan belajar daripada kekalahan itu untuk buat yang lebih baik selepas ini."
#badminton #Chen Tang Jie #Toh Ee Wei #Kejohanan Badminton Dunia BWF