Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan bahawa mereka masih beregu lelaki nombor satu negara selepas menewaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, dalam perlawanan pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia BWF di Gimnasium Metropolitan Tokyo sebentar tadi.

Perlawanan di antara dua beregu negara itu berlangsung sengit sejak awal aksi tetapi Aaron dan Wooi Yik lebih menyerlah untuk memenangi set pertama 21-17.

Beregu pilihan keenam itu kemudian diberikan tentangan lebih sengit oleh Sze Fei dan Nur Izzuddin dalam set kedua tetapi laluan ke suku akhir menjadi milik Aaron dan Wooi Yik menerusi kemenangan 21-19.

Beregu nombor satu negara itu seterusnya akan menantikan pemenang perlawanan di antara beregu pilihan ke-10 dari Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Seo Seung Jae, dan pilihan keempat dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.