Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, mengakui masih mencari sentuhan terbaiknya selepas terpaksa menarik diri dalam Kejohanan Badminton Syed Modi di India bulan lalu gara-gara masalah kecergasan.

Menjelang saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam minggu depan, pemain berusia 21 tahun itu tetap bersemangat untuk diturunkan dan bersedia mengerah kudrat memandangkan perebutan slot perseorangan kedua negara masih terbuka luas, bergantung kepada percaturan barisan kejurulatihan skuad negara.

"Saya masih mencari sentuhan terbaik saya dan apa yang paling penting, saya masih ada stamina, jadi saya perlu mengekalkannya," katanya kepada Nadi Arena.

"Masih ada beberapa hari untuk saya mendapatkan sentuhan terbaik.

"Kejohanan kali ini pasti berbeza kerana sebelum ini, saya kerap berdepan lawan di ranking yang lebih tinggi daripada saya, jadi saya tiada tekanan tetapi kali ini, ranking saya pula lebih tinggi daripada mereka, jadi mungkin tekanan itu lebih besar buat saya," katanya.

Kejohanan Berpasukan Asia akan bermula Selasa depan, di mana skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan manakala skuad wanita pula diletakkan dalam Kumpulan Y bersama Jepun dan India.