Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, mengakui mempunyai beberapa pilihan untuk dipertaruhkan selaku gandingan ketiga dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, yang bermula 15 Februari ini.

Dengan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Woi Yik, dilihat antara taruhan utama, Rexy mengakui kedudukan beregu ketiga masih lagi menjadi perebutan.

Bagi beregu wanita pula, dia membayangkan juara Terbuka Switzerland 2021, Pearly Tan-M.Thinaah serta juara Kejohanan Antarabangsa India Syed Modi 2022, Anna Ching-Teoh Mei Xing, minggu lalu turut berpotensi disenaraikan dalam kejohanan itu.

"Setakat ini memang ada tiga beregu yang menjadi pilihan kami tapi ia hanya akan dimuktamadkan dalam mesyuarat selepas ini.

"Persiapan kami ketika ini ialah memberi fokus kepada beregu yang mampu mengutip mata buat pasukan.

"Menerusi persembahan yang mereka tunjukkan setakat ini saya gembira. Tapi memang (masih) banyak hal yang kami perlu usahakan.

"Ini satu langkah awal untuk mereka ke tahap yang lebih tinggi. Banyak barang (aspek) yang kami haruskan mantapkan lagi sebagai persiapan untuk mereka mampu bermain di tahap yang tertinggi," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.



Peluang ini turut terbuka kepada beregu profesional negara, Teo Ee Yi-Ng Yew Sin, selepas muncul wakil tunggal negara yang meraih pingat dalam Kejohanan Dunia di Sepanyol 2021 selain juara Syed Modi 2022, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

"Kalau mereka berpotensi untuk muncul menjadi beregu ketiga, mengapa tidak? Tapi masih banyak yang perlu dibincangkan dan siapa yang akan terpilih kami belum tahu.

"Kalau berdasarkan kebaikan masa depan, kami rasa mereka (Wei Chong-Kai Wun) juga layak.

"Tapi kami tidak boleh ketepikan persembahan (beregu lelaki profesional), Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang juga baik.

"Jadi kami akan adakan perbincangan dan bersikap terbuka dalam mencari siapa yang terbaik," katanya.