Lee Zii Jia berpotensi untuk berdepan juara dunia, Loh kean Yew, selepas Malaysia diundi bersama Singapura, Jepun dan Kazakhstan dalam aksi peringkat Kumpulan B, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam minggu depan.

Ketua jurulatih skuad perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan, berasakan Zii Jia mampu memainkan peranan penting dalam meraih mata pertama negara ketika mengetuai skuad lelaki, terutama sewaktu menentang Singapura.

"Saya boleh katakan ia undian yang baik. Kami mempunyai kombinasi pemain senior dan remaja untuk diuji sepanjang kejohanan ini. Zii Jia akan menjadi pemain penting buat kami. Jika dia menang, ia secara automatik akan memberikan kami kelebihan.

"Sukar untuk bercakap mengenai persediannya kerana dia kini bukan di bawah bimbingan saya.

"Tetapi kita masih ada Aaron Chia-Soh Wooi Yik, juga Ng Tze Yong, yang diharapkan mampu memberikan mata buat kita," kata Hendrawan selepas majlis undian itu hari ini.

Dalam pada itu, juara bertahan, Indonesia, diundi dalam Kumpulan A bersama India, Korea Selatan dan Hong Kong.

Dalam saingan wanita pula, Malaysia diundi dalam Kumpulan Y bersama juara bertahan, Jepun, dan India.

Kumpulan Z pula menghimpunkan Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan.

Empat pasukan terbaik daripada setiap kategori akan layak ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber pada Mei depan.