Leong Jun Hao membawa watak wira skuad negara apabila menyumbangkan mata kemenangan untuk Malaysia menewaskan Jepun 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan B, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Setia City Convention Center, Shah Alam sebentar tadi.

Kemenangan itu turut mengesahkan Malaysia ke peringkat separuh akhir selaku juara kumpulan, sekali gus layak menyertai saingan Piala Thomas di Thailand pada Mei depan.

Aksi di Shah Alam menyaksikan perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Riku Hatano 15-21, 21-6, 21-15.

Bagaimanapun, hasrat untuk menyaksikan beregu utama, Aaron Chia-Shoh Wooi Yik, menyumbangkan mata kedua negara tidak kesampaian apabila gandingan di ranking ketujuh dunia itu tewas 21-23, 16-21 kepada beregu tidak ternama Jepun, Ayato Endo-Yuta Takei dalam masa 30 minit.

Laluan skuad negara kian berliku selepas perseorangan kedua, Aidil Sholeh Ali Sadikin, tewas 21-19, 16-21, 15-21 kepada Koo Takahashi.

Namun, peluang Malaysia kembali dihidupkan beregu meningkat naik, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani, yang mencatatkan kemenangan 17-21, 21-17, 21-17 ke atas Shuntaro Mezaki-Haruya Nishida

Jun Hao kemudian memastikan Malaysia menjadi pemilik mata terakhir dalam perhitungan itu selepas merakamkan kemenangan 21-18, 21-16 ke atas Koshiro Moriguchi.

Dengan kemenangan itu, Malaysia akan berdepan naib juara Kumpulan A, Korea Selatan, dalam penentuan ke final petang esok.