Jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, tetap berwaspada sekalipun China tidak menghantar pemain sensasinya, Lin Dan dan Chen Long, dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia yang juga kelayakan Piala Thomas di Alor Setar, dari 6 hingga 11 Februari ini.

Senarai awal penyertaan pemain yang dihantar skuad badminton China menyaksikan tiada nama dua jagoan itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Misbun mengakui ia mampu mengurangkan tekanan buat pemain negara dalam usaha mengejar kedudukan empat terbaik bagi melayakkan diri ke Piala Thomas secara automatik di Bangkok dari 20 hingga 27 Mei depan.

Namun, katanya, Malaysia tidak boleh memandang mudah barisan perseorangan China kerana ancaman tetap dirasai dengan kehadiran pemain seperti Shi Yuqi, Qiao Bin mahupun Tian Houwei.

"Ada orang yang mengambil kesempatan dengan memandang mudah lawan, bukan. Ini adalah kesedaran dan kebijaksaan bagaimana kita mahu bermain.

"Ramai orang fikir tentang persiapan diri tetapi tidak fikir ke arah kekuatan lawan," katanya

Dalam pada itu, tumpuan barisan pemain kini terarah kepada kejohanan Masters Thailand dan Masters Malaysia yang berlangsung bulan ini.

Perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, berkata selain sebagai persediaan peribadi, dua kejohanan itu adalah peluang untuk membantu menaikkan ranking Malaysia.

"Tidak lega sangat (tanpa Lin Dan dan Chen Long) kerana China mempunyai ramai pelapis. Jadi, kami perlu buat persiapan dan fokus 100 peratus untuk menang. Bagi Datuk Lee Chong Wei, mungkin dia tiada masalah," katanya.