Skuad wanita negara tidak gentar bertemu Thailand yang tampil dengan barisan terbaik meskipun tanpa perseorangan pertamanya, Ratchanok Intanon, dalam Kumpulan Y, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, dari 6 hingga 11 Februari ini.

Bagaimanapun, menurut ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, Malaysia tetap berwaspada dengan dua lagi pasukan pelengkap kumpulan, iaitu Vietnam dan Filipina.

"Kalau mahu lebih selesa, kami perlu menang ke atas Thailand. Sudah tentu bukan mudah untuk menewaskan mereka.

"Di atas kertas, mereka lebih kuat daripada kami. Tetapi kami akan cuba sedaya-upaya dan kalau menang, peluang untuk mara ke separuh akhir lebih cerah.

"Pun begitu, kami tidak boleh memandang mudah Filipina dan Vietnam. Apapun, kita perlu berjuang," katanya.

Sementara itu, perseorangan nombor satu negara, Soniia Cheah Su Ya, akur bahawa dia dan rakan sepasukan, termasuk Goh Jin Wei, perlu mengikhtiarkan sesuatu yang luar biasa bagi menafikan barisan perseorangan Thailand meskipun tanpa Ratchanok.

"Thailand mempunyai ramai pemain perseorangan wanita dan mereka juga kuat. Semangat kami agak baik ketika ini," kata Soniia.