Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, menggesa kem perseorangan lelaki dan wanita negara supaya mengatur langkah lebih efisien agar tidak ketinggalan.


Ia secara tidak langsung tidak akan membiarkan perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, bersendirian dalam memberi saingan di pentas tertinggi seperti yang dialami ketika era Datuk Lee Chong Wei.

"Pencapaian Lee Zii Jia amat memberangsangkan.

"Cabaran kami terletak kepada Pengarah Teknikal Perseorangan BAM, Wong Choong Hann, untuk melahirkan pemain yang menduduki ranking lebih tinggi lagi, bukan sekadar Zii Jia dan Liew Daren sahaja.

"Kami berikan ruang dan peluang seperti Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Aidil Sholeh Ali Sadikin.

"Kami juga ada pemain profesional seperti Cheam Jun Wei dan Soong Joo Ven.

"Mereka perlu giatkan usaha agar Zii Jia tidak berseorangan di peringkat tertinggi.

"Saya rasa semua pemegang taruhan faham mengenai perkara ini dan berusaha ke arah ini.

"Tetapi beregu wanita menunjukkan pencapaian memberangsangkan, contohnya Pearly Tan-M Thinaah yang kini mencapai tangga ke-10 terbaik dunia.

"Saya rasa perseorangan wanita perlu melangkah supaya mereka tidak ketinggalan," katanya.




Norza juga menegaskan skuad negara bakal menghantar pasukan terbaik ke Sukan Komanwel 2022.

Bagaimanapun, Norza mengakui juara Piala Thomas, India, akan menjadi cabaran besar kepada skuad negara di Birmingham bermula hujung bulan depan.

"India baru sahaja memenangi Piala Thomas.

"Saya harap pasukan negara yang dihantar kelak akan memberikan saingan hebat," katanya menjelang mesyuarat jawatankuasa pemilihan pemain esok.