Skuad Badminton wanita negara memastikan kontinjen Malaysia meraih emas berganda daripada sukan berkenaan selepas menewaskan Indonesia 3-2 dalam final acara berpasukan wanita Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Ubon Rachathani, Thailand sebentar tadi.

Selepas pasukan lelaki cemerlang menewaskan negara sama dalam penentuan emas acara berpasukan lelaki, pasukan wanita turut melakukan perkara sama walaupun agak bergelut memastikan kemenangan.

Selepas ketinggalan 0-2, skuad negara melakukan kebangkitan dramatik untuk melakar kemenangan 3-2, sekali gus memastikan kalungan pingat emas kedua daripada sukan badminton.

Mata Malaysia disumbangkan oleh dua gandingan beregu, iaitu Siow-Ng Qi Xuan dan Yap Rui Chen-Teoh Lexuan, sebelum Rui Chen turut menyumbangkan mata dalam acara perseorangan.

Sebagai rekod, skuad wanita negara mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka dalam edisi di Nay Pyi Taw, Myanmar pada 2018.