Skuad Badminton lelaki negara menumbangkan pasukan pilihan, Indonesia, dalam aksi final acara berpasukan lelaki Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Ubon Rachathani, Thailand sebentar tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan barisan pemain muda negara melunaskan dendam selepas tewas 2-3 kepada lawan sama dalam pusingan 'round-robin' sebelum ini.

Turun selaku perseorangan pertama, Ng Jun Yan, yang masih bergelut dengan kecederaan, mengawal situasi dengan baik sebelum menang mudah 21-14, 21-4 ke atas Muhammad Febriansyah.

Meneruskan momentum itu adalah perseorangan kedua, Tai Chuan Zhe, yang mempamerkan aksi meyakinkan untuk menumbangkan Muhammad Rafi Zafran Ferary 21-18-21-20.

Faiz Rozain kemudian menyumbangkan mata kemenangan Malaysia dengan mengalahkan Nendi Novatino 21-16 dalam set pertama sebelum lawan daripada Indonesia itu terpaksa menarik diri di kedudukan 11-1 gara-gara kecederaan.