Atlet angkat berat Kuala Lumpur, Atikah Mohamad Sobri, memulakan langkahnya sebagai protege juara Sukan Olimpik Tokyo, Hidilyn Diaz, di Manila, Filipina.

Atikah, yang dipilih sendiri oleh Hidilyn selepas berlatih lebih setahun di Malaysia sebelum menggondol emas Sukan Olimpik yang lalu, memulakan sesi latihan pertamanya sebaik tamat proses kuarantin di Manila itu.

"Saya sangat teruja sebab ini kali pertama saya datang ke mari untuk berlatih dan berjumpa pemenang pingat emas Olimpik.

"Saya terharu untuk terpilih berlatih dengannya," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.

Atikah akan berguru di negara jiran Asia Tenggara itu dalam tempoh tiga bulan dengan harapannya untuk layak seterusnya menjuarai Sukan Komanwel Birmingham, hujung tahun depan.

Lantas, juara Sukan Malaysia (Sukma) 2018 itu perlu melepasi pusingan kelayakan Sukan Komanwel yang berlangsung di Singapura, bulan depan.

"Berdasarkan kejohanan tertutup di Rompin bulan lalu, saya perlu banyak berlatih lagi.

"Saya perlu naikkan angkatan dan fokus.

"Bukan senang dapat jumpa atlet peringkat tinggi dan beri tunjuk ajar kepada saya yang tidak mempunyai apa-apa (pencapaian ini) .

"Saya amat mengaguminya," katanya lagi.

Atikah merupakan pemenang emas kategori 58 kilogram Sukan Remaja Komanwel 2015 di Apia, Samoa.

Selainnya, dia turut disertai rakan seperjuangan seperti Ahmad Fadhil Ahmad Janius, Nur Batrisya Yaakop, Muhammad Daniel Yaakop, Muhammad Izzul Hakimi dan Nurul Syasya Khairina Samsur.

Kredit imej: MSN