Timbalan Presiden, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengesahkan pemenang pingat emas beregu wanita Sukan SEA Singapura 2015, Amelia Alicia Anscelly, sudah menyerahkan surat untuk keluar daripada badan induk itu, hari ini.

Menurut Norza, surat keluar daripada BAM itu telah diserahkan kepada Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost, tanpa sebarang penjelasan mengapa keputusan itu dibuat.

"Morten Frost mendapat surat itu pagi tadi dan saya sudah memberitahu bahawa kami akan membincangkan perkara ini dalam mesyuarat akan datang.

"Sementara itu saya akan menghubungi Anscelly bagi mendapatkan penjelasan," kata Norza.

Berbaki 130 hari lagi sebelum temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 membuka tirai, keputusan Amelia untuk keluar daripada BAM ternyata meresahkan badan induk itu kerana dia menjadi harapan untuk sekali lagi membutirkan pingat emas buat Malaysia, Ogos ini.

"Kerana itu saya mahu tahu apa keadaan sebenar, kami enggan dia mengambil tindakan terburu-buru dan sudah pasti ada sebab mengapa dia menghantar surat tersebut kepada Morten," tambah Norza.