Pemain beregu wanita, Amelia Alicia Anscelly, tidak berselindung di sebalik cabaran besar menangani perkembangan kerjayanya tanpa pemain gandingannya, Soong Fie Cho, yang mengalami kecederaan lutut serius sejak Februari lalu.

Selepas memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Singapura 2015, Amelia dan Fie Cho dicanang akan meningkat seiring dengan beregu utama negara, Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei.

Tetapi, kecederaan Fie Cho ketika beraksi dalam Kejohanan Masters Thailand Puteri Sirivannavari pada Februari lalu, meranapkan impian mereka untuk membarisi skuad Piala Uber 2016 dan mewakili negara dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Sementara Fie Cho menjalani proses pemulihan, Amelia menjadikan tugas membimbing gandingan lebih muda, Teoh Mei Xing, sebagai suntikan motivasi.

“Saya sudah lama bermain badminton, perkara sebegini tidak sepatutnya menggugat motivasi saya. Sebagai pemain profesional, saya perlu menghadapi situasi ini.

"Ya, memang saya agak kecewa, tetapi saya perlu bangkit dan kuat untuk membimbing Mei Xing,” kata Amelia.

Sehubungan itu, Amelia turut berdepan dilema menjelang musim 2017 memandangkan dia berhasrat untuk mempertahankan emas Sukan SEA atau cuba layak ke Kejohanan Dunia.

Sama ada Fie Cho atau Mei Xing menjadi gandingan tetapnya selepas ini, adalah persoalan memandangkan dia tidak mahu Fie Cho terburu-buru untuk kembali cergas.

“Saya tidak mahu dia terburu-buru kembali bermain badminton, kecederaan Fie Cho adalah serius. Dia perlu rehat secukupnya sebelum kembali beraksi di gelanggang.” jelasnya.