Persembahan cemerlang beregu muda lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani, wajar diberikan pujian kerana hampir membutirkan mata buat Malaysia ketika tewas kepada China dalam aksi suku akhir Kejohanan Berpasukan Campuran Asia, semalam.

Pasangan ini turun sebagai wakil ketiga negara berdepan beregu China, Lin Junhui-Liu Yuchen.

Meskipun ranking dunia memisahkan mereka, Sze Fei dan Nur Izzudin tampil dengan aksi yang membanggakan ketika berdepan beregu China itu.

Mereka hampir mengejutkan lawan, namun Jun Hui dan Yu Chen menggunakan pengalaman untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, sekaligus menewaskan Sze Fei-Nur Izzudin 21-19, 20-22, 10-21.

“Kesilapan yang kami lakukan telah memberikan mata buat mereka, beregu dari China menggunakan pengalaman untuk menewaskan kami,” ujar Nur Izzudin.

Persembahan cemerlang mereka mendapat pujian jurulatih, Cheah Soon Kit, yang menyifatkan anak buahnya semakin matang dalam menghadapi lawan berstatus pemain handalan dunia.

“Ini merupakan pengalaman pertama mereka beraksi dalam kejohanan berpasukan, saya dapat melihat Sze Fei-Nur Izzudin telah mempamerkan aksi yang penuh bersemangat,” jelas Soon Kit.