Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, akur dan berikrar untuk mengkaji sebelum kesilapan anak buahnya, Lee Zii Jia, yang mempamerkan prestasi sumbang sepanjang tiga kejohanan di Bangkok, Thailand.

Pemain yang bakal mencecah umur 23 tahun itu tewas ketiga-tiga perlawanan dalam kempen Kejohanan Badminton Akhir Jelajah Dunia selepas ditundukkan lawan dari Indonesia, Anthony Ginting 12-21 21-15, 13-21, hari ini.

Malah, dia terkandas ke suku akhir dalam kejohanan pertama Terbuka Thailand selain tersingkir dalam pusingan pertama dalam pertandingan berikutnya.

"Apapun hasil tiga rentetan kejohanan ini, kami harus terima.

"Kami mengakui selepas berehat panjang, tiga kejohanan awal ini tidak bagus.

"Tetapi ini baru permulaan, kami akan balik, mengkaji dan membincang apa-apa yang perlu dibuat untuk perubahan.

"Saya nampak beberapa lawan sudah dapat baca permainannya.

"Selepas dia memasuki ranking 10 terbaik dunia, orang akan belajar (corak permainannya)," katanya ketika dihubungi.

RESULTS: World Tour Finals Group A #INA ?? Anthony Sinisuka Ginting def. #MAS ?? Lee Zii Jia 21-12 15-21 21-13 #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Friday, January 29, 2021


Zii Jia, yang semalam tidak menyembunyikan kekecewaannya terhadap mutu permainannya sendiri, menganggap Anthony -- yang juga sudah pun tersingkir -- lebih berhak untuk mencetak kejayaan ke atasnya.

"Setakat ini kejohanan ini, ia satu persembahan yang amat buruk daripada saya. Saya tidak mahu mengulas lanjut.

"Saya dapat menguasai pertarungan untuk memenangi set kedua, Anthony mula mengimbangi permainan selain beraksi lebih baik ketika cuba menghambat mata," katanya.