Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengidam untuk menggapai kelompok lima terbaik dunia dalam tempoh tiga tahun menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam perkongsian mereka bersama wartawan Astro Arena, Adam Zamri, mereka juga mahu mengelak sebarang perselisihan yang menjurus kepada penurunan prestasi dan pastinya enggan nasib yang pernah terjadi kepada gandingan terdahulu daripada berulang.

Sebulan selepas Aaron-Wooi Yik merangkul pingat gangsa dalam Sukan Olimpik Tokyo, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meraikan gandingan ini dengan insentif RM120,000 serta tambahan RM60,000 daripada pihak penaja.

Dalam satu majlis di Akademi Badminton Negara (ABM), Bukit Kiara hari ini, jurulatih mereka, Flandy Limpele, turut menerima ganjaran RM30,000.




Beregu utama negara itu, yang kini berada di tangga kelapan dunia, menganggap pemburuan posisi lima terbaik dalam tempoh tiga tahun mendatang bukanlah sesuatu yang mustahil.

Kali terakhir gandingan Malaysia berada di puncak ranking adalah menerusi Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

"Kami menanam impian untuk menjadi juara dunia. Tahun ini membuka peluang untuk kami menaikkan tahap dan kami harus kekalkannya sampai tahun depan sebab dalam masa dua tahun ini banyak kejohanan besar akan dianjurkan.

"Selepas ini kami akan menghadapi Piala Sudirman dan Piala Thomas selain Kejohanan Dunia," kata Wooi Yik.

Namun, mereka juga sedar setiap gandingan pasti mempunyai cabaran tersendiri dalam mengekalkan keserasian mereka.

Mengambil iktibar perpisahan senior mereka, V Shem-Wee Kiong, selepas membantu negara meraih perak dalam edisi Olimpik lima tahun lalu, ditambah bergelut dengan masalah prestasi, Aaron-Wooi Yik bertekad mengetepikan ego bagi memastikan misi yang ditetapkan dapat terlaksana.

"Kami sentiasa cakap bahawa kami akan kerap melakukan perbincangan. Setiap kali ada masalah, kami akan selesaikan dulu.

"Kami memang sudah menetapkan hingga temasya Paris 2024, kami bukan sekadar mahu layak malah ingin memenangi pingat.

"Ia satu elemen yang boleh membawa kami ke tahap ke seterusnya," kata Aaron pula.

Tidak ketinggalan, badan induk juga mengumumkan habuan lumayan buat pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo, Cheah Liek Hou, yang menyumbangkan pingat pertama negara dalam acara badminton.

Liek Hou yang beraksi dalam kategori SU5 menerima ganjaran RM200,000 sementara jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek, menikmati RM50,000.

Inisiatif itu adalah sebagai menghargai jasa pemain dan jurulatih berkenaan biarpun bukan di bawah naungan BAM.

"Kami mengiktiraf sumbangan mereka yang sangat besar kepada negara.

"(Ini bukan dalam skim kemenangan BAM dan walaupun) kami mengendalikan badan badminton negara tetapi selama ini Cheah Liek Hou di bawah program paralimpik MSN (Majlis Sukan Negara).

"Kami cuma memantaunya menerusi Jawatankuasa Para BAM, itu sahaja.

"Mungkin selepas ini kami boleh bekerjasama dengan MSN untuk (perancangan) masa depan," kata Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria.