Bekas pemain badminton beregu lelaki negara, Koo Kien Keat, mahukan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memandang serius pencapaian mereka selaku naib juara Kejohanan Badminton Seluruh England sebagai permulaan untuk mengekalkan momentum bagi menempatkan diri di ranking 10 terbaik dunia.

Kien Keat selaku juara Seluruh England edisi 2007 -- bergandingan dengan Tan Boon Heong -- berharap beregu yang kini di tangga ke-18 dunia itu akan lebih bersedia bagi mengharungi perjalanan lebih sukar untuk diletakkan sebagai sandaran negara dalam memburu pingat Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kebangkitan yang ditampilkan mereka itu akan mencetuskan persaingan lebih menarik dengan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

"Jika di peringkat semuda ini mereka sudah berasakan tekanan yang tinggi, ia bukanlah permulaan yang bagus.

"Mereka perlu memanfaatkan permulaan baik seperti ini untuk meningkatkan keyakinan diri dan sebagai pemangkin untuk mereka berada dalam kelompok 10 terbaik dunia," katanya.