Skuad elit badminton negara mempunyai tempoh sebulan sebelum kembali mengharungi saingan musim 2022, dengan tidak menyertai kejohanan pertama iaitu, Terbuka India yang dijadual berlangsung pada 11 Januari.

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia menyatakan Kejohanan Berpasukan Asia mungkin menjadi aksi pembuka tirai musim dan ia juga memberi masa untuk mereka menyesuaikan diri dengan perancangan Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky.

"Kami telah membuat keputusan ketika saingan di Eropah bahawa tidak akan menyertai Terbuka India. Ia membenarkan kami berehat dan membuat persiapan bagi musim 2022," kata Aaron.

Susulan jadual padat diharungi oleh kem negara musim lalu, barisan pemain bakal mulakan aksi tahun 2022 bermula 15 Februari depan.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu mahu memanfaatkan tempoh masa sebulan dalam melakukan persediaan rapi dan kembali fokus atas gelanggang.

BAM mempertaruhkan pemain pelapis seperti Ng Tze Yong dan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei di Terbuka India.

"Kami buat masa ini cuba untuk menyesuaikan diri dengan perancangan serta corak latihan Rexy dan berharap untuk memperoleh keputusan positif."