Setelah menang mengejut ke atas Juara Amerika Syarikat Apollo Crews di acara Raw minggu lalu, bintang veteran, MVP mempersembahkan bengkung kejuaraan Amerika Syarikat dengan reka bentuk baharu yang lebih klasik.

Bersama-sama dengan sekutunya Bobby Lashley, MVP mendakwa yang dirinya adalah juara sebenar setelah melakukan tindanan pin secara bersih ke atas Crews, dan pertemuan semula mereka di acara The Horror Show at Extreme Rules pada 20 Julai depan akan menobatkan juara sebenar.


Bengkung kejuaraan baharu ini ternyata menyerlahkan lagi prestij dan keunggulan kejuaraan yang telah mula dipertandingkan pada 1 Januari 1975 ini dengan menyaksikan lagenda Harley Race sebagai juara sulung. Ia bermula di (NWA) National Wrestling Alliance sebelum diserapkan di bawah jenama WCW (World Championship Wrestling) pada November 1988.

Setelah WCW diambil alih sepenuhnya oleh WWE pada tahun 2001, bengkung kejuaraan ini diberi nafas baharu pada tahun 2003 dan tidak pernah berubah reka bentuknya hinggalah waktu ini. Hanya sekali John Cena tampil dengan bengkung kejuaraan spinner khas bagi meraikan persona Cena sebagai rapper Dr Thuganomics pada tahun 2004.

Dengan pengenalan bengkung kejuaraan baharu ini, pastinya ia akan meneruskan legasi gemilang para juara terdahulu seperti Ric Flair, Ricky Steamboat, Roddy Piper, Sting, Steve Austin, Bret Hart, Chris Jericho dan MVP sendiri.

Dalam perkembangan lain, Rey Mysterio memilih syarat perlawanan mengejutkan apabila berjaya bersama-sama Kevin Owens, mereka berjaya menewaskan Seth Rollins dan Murphy.

Setelah apa yang dilakukan The Monday Night Messiah ke atas diri dan anaknya Dominique beberapa minggu lalu, kesumat Mysterio tidak mampu dibendung lagi. Tegasnya, siapa yang tewas antara dirinya dengan Seth dalam perlawanan di Horror Show at Extreme Rules nanti, perlu mengorbankan mata dan bekas Juara Dunia WWE ini berikrar mahu mencungkil biji mata Seth dengan tangannya.

Keputusan lain acara Raw:
1. Juara WWE Drew McIntyre kalahkan Heath Slater
2. Kairi Sane seri dengan Sasha Banks
3. Bobby Lashley & MVP tewaskan gandingan Ricochet & Cedric Alexander
4. Randy Orton, Andrade & Angel Garza tumpaskan Big Show & Viking Raiders
5. Billie Kay tumbangkan Ruby Riott
6. Juara Wanita Raw Asuka tewaskan Juara Wanita Smackdown Bayley hasil gangguan Nikki Cross

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara NXT Great American Bash bahagian ke-2 pada 9 Julai esok dan Horror Show at Extreme Rules pada 20 Julai serta kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.