WWE Raw: Goldberg kemuka cabaran terhadap McIntyre

By Hafiz Azwany Taher 6 January 2021 2904
WWE Raw: Goldberg kemuka cabaran terhadap McIntyre

Juara WWE Drew McIntyre sepatutnya mampu menarik nafas lega kerana berjaya mengetepikan cabaran daripada Keith Lee di acara kemuncak Raw semalam. Sebuah pertembungan sengit yang klasik dan menjadi mukadimah yang mengujakan bagi pembukaan tirai 2021.

Disaksikan oleh barisan bintang legenda yang menjadi tetamu khas acara Raw semalam seperti Hulk Hogan, Ric Flair, Sgt Slaughter, Mark Henry, Booker T, Jeff Jarrett, Tatanka, Melina, Torrie Wilson dan ramai lagi, saat untuk meraikan kejayaan terencat apabila lagu tema Goldberg berkumandang, dan bekas Juara Heavyweight Dunia beberapa kali itu melangkah gagah ke gelanggang bagi bersemuka dengan McIntyre.

Menurut bintang Hall Of Fame itu, McIntyre mempunyai pakej lengkap untuk bergelar seorang juara. Fizikal yang mantap dan kelajuan yang mampu mengesampingkan mana-mana pencabar yang ingin merampas kejuaraan daripadanya. Cuma hanya satu yang masih kurang iaitu rasa hormat daripada bintang legenda seperti Goldberg.

Enggan berkias dan menggunakan kata berbunga-bunga, bintang berusia 54 tahun itu mengemukakan cabaran kepada McIntyre dan memilih acara Royal Rumble pada 1 Februari depan (waktu tempatan) sebagai medan tempur. Melihatkan reaksi sinikal daripada jaguh Scotland itu, Goldberg secara tidak disangka menolak McIntyre sehingga terjatuh.

Cabaran Goldberg ini nyata agak mengejutkan kerana sebelum ini, spekulasi bertiup kencang yang dirinya akan mencabar Juara Universal Roman Reigns di Smackdown, setelah perlawanan antara mereka dibatalkan di acara Wrestlemania tahun lalu dan tempat Roman digantikan dengan Braun Strowman. Barangkali Goldberg ingin mencuba nasibnya dengan mendepani McIntyre terlebih dahulu dan jika berjaya, barulah beliau mendepani Roman pula sama ada di acara Wrestlemania atau Summerslam pada tahun ini.

Yang pasti, cabaran daripada bekas juara tidak terkalah di WCW (World Championship Wrestling) ini tidak wajar dipandang enteng oleh McIntyre dan ia perlu disahut secara jantan bagi membuktikan yang dirinya adalah seorang juara sebenar serta tidak mudah tunduk kepada sesiapa.

Keputusan lain acara Raw:

1. The New Day kalahkan The Miz & John Morrison

2. AJ Styles tewaskan Elias

3. Lacey Evans & Peyton Royce tumpaskan Juara Beregu Wanita WWE Charlotte Flair & Asuka (tanpa pertaruhan kejuaraan)

4. Riddle tumbangkan Juara Amerika Syarikat WWE Bobby Lashley (tanpa pertaruhan kejuaraan)

5. Dana Brooke tumpaskan Shayna Baszler

6. Jeff Hardy tewas kepada Randy Orton

7. The Hurt Business (Shelton Benjamin & Cedric Alexander) tumpas mengejut kepada Lucha House Party (tanpa pertaruhan kejuaraan)

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Royal Rumber 2021 pada 1 Februari depan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

About Author

Hafiz Azwany Taher

Comment