Acara sulung WWE Raw edisi 2020 menyaksikan kejutan apabila Juara WWE Brock Lesnar mengumumkan dirinya bakal bertanding dalam perlawanan Tempur Raksasa Royal Rumble pada tahun ini.

Melalui lidah penasihatnya Paul Heyman, The Beast mendakwa tiada mana-mana bintang Raw ketika ini dilihat layak untuk menjadi pencabar yang berkualiti untuk berdepan sekaligus mencabar kejuaraan yang disandangnya.

Justeru, peluang kini dibuka buat semua bintang WWE bukan sahaja Raw, malah juga buat bintang Smackdown dan NXT untuk berada dalam satu gelanggang dengan juara berganda WWE tersebut di Rumble kelak.

Tambah Heyman, Lesnar dengan sukarela dan berlapang dada meletakkan dirinya sebagai peserta pertama Rumble pada tahun ini, dan bertekad untuk menyingkirkan satu persatu 29 peserta lain yang masuk. Ia sekaligus meletakkan keyakinan tinggi bahawa tiada siapa yang mampu menyingkirkan dirinya dan terus gah mendabik dada sebagai juara terulung di WWE.

Situasi ini agak menarik kerana lazimnya, pemenang Royal Rumble akan menempah tempat sebagai pencabar utama kejuaraan di kemuncak acara Wrestlemania. Namun berbeza kali ini apabila sang juara sendiri yang menyertai Rumble dan persoalan apakah ganjaran yang bakal diterima sekiranya menjadi pemenang kini bermain di minda WWE Universe.

Sekiranya Lesnar berjaya, apakah beliau tidak perlu untuk mempertaruhkan kejuaraannya di Wrestlemania? Atau mencabar juara dari Smackdown atau NXT?

Penyertaan juara dalam acara Rumble bukan kali pertama. Ia pernah berlaku pada tahun 1992 ketika Ric Flair menjadi juara dan sekali lagi berlaku pada tahun 2016 apabila Roman Reigns terpaksa mempertaruhkan Kejuaraan WWE miliknya dalam perlawanan yang sama. Bezanya, penyertaan Lesnar kali ini adalah secara sukarela dan bukan didorong atau dipaksa mana-mana pihak.



Dalam perkembangan lain, bintang veteran Big Show membuat kejutan apabila kembali di perlawanan kemuncak Raw semalam. Bintang dengan ketinggian lebih 7 kaki itu menjadi sekutu misteri kepada pasangan Samoa Joe dan Kevin Owens menentang trio Seth Rollins dan AOP (Authors of Pain).

Penyertaan bintang berusia 47 tahun ini nyata memberikan kelebihan kepada pasukan Owens dan Joe apabila berjaya menggugah dominasi Rollins dan AOP. Setelah berehat panjang selama dua tahun akibat kecederaan tulang pinggul, nyata gergasi dengan berat 174 kilogram ini tampak lebih bertenaga sehingga memaksa AOP menyerangnya dengan kerusi besi sekaligus dibatalkan secara DQ (disqualification).

Rollins menjadi individu paling “bertuah” apabila di pasca perlawanan berakhir, satu tumbukan knockout yang padu dihadiahkan Big Show sehingga terpaksa diusung keluar dari gelanggang oleh AOP. Kedua-dua pasukan ini akan bertemu sekali lagi di acara Raw minggu hadapan dalam format perlawanan tumbukan Fist Fight.



Keputusan lain perlawanan Raw minggu ini:
1. Andrade pertahankan Kejuaraan Amerika Syarikat dengan menewaskan Rey Mysterio
2. The Viking Raiders kekalkan Kejuaraan Beregu Raw dengan mengenepikan cabaran tiga penjuru daripada Street Profits dan The O.C.
3. AJ Styles tumbangkan Akira Tozawa
4. Drew McIntyre tewaskan No Way Jose
5. Aleister Black kalahkan Shelton Benjamin sebelum diserang Buddy Murphy

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Royal Rumble pada 27 Januari ini dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.