Persoalan siapa yang bakal menjadi pencabar kepada Kejuaraan Wanita Raw yang kini disandang Becky Lynch terjawab apabila Shayna Baszler dengan mudah mengenepikan cabaran lima pesaingnya di acara WWE Elimination Chamber yang bersiaran secara langsung pagi tadi.

Natalya dan Ruby Riott memulakan perlawanan dengan sengit sebelum disertai Sarah Logan tidak lama kemudian. Ketiga-tiganya berusaha sedaya upaya untuk menyingkirkan pesaing masing-masing dengan memanfaatkan sepenuhnya jaring besi dan kaca pod yang menjadi kurungan peserta lain.

Tibanya giliran Baszler ibarat ribut taufan yang membadai. Dengan mudah Juara Wanita NXT dua kali itu membaling Natalya ke penjuru gelanggang, menjulang Logan ke udara selajur menghadiahkan satu tendangan padu ke muka disusuli dengan kunci Kirifuda Clutch menyebabkan Loga terpaksa menyerah kalah dan tersingkir.

Tidak menunggu lama, Ruby Riott dan Natalya turut menerima ‘hadiah’ yang sama dan terpaksa meninggalkan perlawanan selepas disingkirkan. Penyingkiran mudah ini membuatkan Baszler mampu berehat panjang selama lima minit di tengah gelanggang sementara menunggu peserta seterusnya dilepaskan dari kurungan.

Liv Morgan menjadi mangsa seterusnya apabila dihenyak ke jaring rantai termasuk dihantuk ke pod kaca. Sambil menjadikan Liv sebagai modal provokasi kepada Asuka yang menjadi peserta terakhir, satu lagi kunci Kirifuda dilancarkan menyebabkan Liv tidak sedarkan diri seterusnya tersingkir.

Asuka berpeluang menghentikan seketika penguasaan Baszler apabila sempat mengenakan Asuka Lock ke atas Baszler. Namun bekas jaguh sukan bela diri campuran tersebut bijak menggulingkan diri ke luar gelanggang dan berjaya melepaskan diri.

Satu tendangan tepat dilancarkan ke tangan kiri Asuka dan disusuli dengan tendangan ke muka menyebabkan Asuka longlai dan terpaksa menyerah dengan kunci maut oleh Baszler.

Kemenangan Baszler ini melayakkannya untuk menjadi pencabar utama untuk Kejuaraan Wanita Raw dan akan mengikat janji temu dengan Becky Lynch di acara WWE Wrestlemania awal bulan hadapan.


Dalam satu lagi perlawanan, Sami Zayn mengejutkan WWE Universe apabila berjaya menggondol Kejuaraan Antara Benua yang sebelum ini disandang oleh Braun Strowman.

Namun ia bukanlah sesuatu yang sukar dijangka kerana ia merupakan perlawanan tiga lawan satu di mana The Monster Among Men terpaksa mendepani Shinsuke Nakamura, Cesaro dan Zayn.

Memandangkan Zayn merupakan individu yang berjaya melakukan tindanan pin, maka kejuaraan kini menjadi miliknya setelah sekian lama berfungsi sebagai jurucakap merangkap pengurus kepada Nakamura dan Cesaro.

Keputusan lain perlawanana di Elimination Chamber:
1. The Street Profits pertahankan Kejuaraan Beregu Raw dengan menewaskan Seth Rollins & Murphy
2. Aleister Black menumpaskan AJ Styles dalam perlawanan No Disqualification hasil bantuan The Undertaker



3. Kejuaraan Beregu Smackdown kekal milik The Miz & John Morrison apabila mereka berjaya mengenepikan cabaran daripada The Usos, Ziggler & Roode, Heavy Machinery, Lucha House Party dan The New Day dalam satu lagi perlawanan Elimination Chamber
4. Andrade kalahkan Humberto Carillo untuk pertahan Kejuaraan Amerika Syarikat WWE
5. Daniel Bryan tumpaskan Drew Gulak
6. The Viking Raider benam pasangan Zack Ryder & Curt Hawkins

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Wrestlemania pada 6 April depan serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.