Bekas Juara Antara Benua Wade Barrett kini sah akan terus berkhidmat sepenuh masa di jenama NXT dan akan kekal menjadi ahli pasukan pengulas bersama Vic Joseph dan bintang Hall Of Fame Beth Phoenix di sana.

Setelah menggalas peranan tersebut secara sementara pada bulan lalu, bintang berusia 40 tahun ini mendapat kepercayaan WWE dan kedua belah pihak telah memeterai kontrak baharu selajur membolehkan suara Barrett atau nama sebenarnya Stuart Alexander Bennett akan terus mewarnai jenama ketiga WWE itu.


Penyertaan Barrett juga sekaligus mengisi kekosongan kerusi pengulas sebelum ini iaitu Mauro Ranallo yang mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui kontrak akibat terikat dengan komitmen lain, ditambah dengan pandemik COVID-19 yang masih membelenggu Amerika Syarikat waktu ini.

Sebagai alumni dan bekas pemenang sulung kejohanan NXT pada tahun 2010, Barrett tentunya tidak asing lagi untuk jenama tersebut kerana lebih arif dengan persekitaran jenama pembangungan bakat itu dan mampu untuk membimbing bakat-bakat baharu di sana. Tidak ketinggalan, loghat Inggeris pekat jejaka kelahiran Penwortham, United Kingdom ini juga amat cocok dengan jenama NXT UK sekiranya khidmat beliau diperlukan di jenama cawangan NXT tersebut.

Untuk rekod, Barrett mula menyertai program pembangunan bakat WWE seawal tahun 2007 dan mula menyinar apabila WWE memperkenalkan kejohanan NXT pada tahun 2010 yang bertujuan untuk menggilap bintang baharu melalui beberapa siri pertandingan ala program realiti di jenama tersebut.


Hanya berselang beberapa minggu setelah program musim pertama itu menutup tirai, Barrett mengejutkan seluruh WWE Universe apabila membawa bersama rakan-rakan sepersaingannya di NXT seperti Heath Slater, Ryan Reeves (Ryback), David Otunga, Justin Gabriel, Darren Young, Michael Tarver dan Daniel Bryan menyerang acara Raw, seterusnya menjadi ancaman kepada bintang-bintang WWE sedia ada waktu itu dengan pembentukan gagasan yang diberi nama sebagai The Nexus.

Beberapa siri kecederaan yang membelenggu dirinya membuatkan Barrett dilepaskan WWE pada tahun 2016, menyebabkan beliau beralih arah seketika dengan menceburi bidang lakonan dan menjadi pengulas di beberapa organisasi gusti lain seperti (NWA) National Wrestling Alliance.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Clash Of Champions pada 28 September depan serta kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.