Sejajar dengan tema “You’ll Never See It Coming” acara Summerslam tahun ini, seluruh WWE Universe pastinya menerima kejutan dan terkesima apabila bekas Juara WWE Roman Reigns kembali di kemuncak acara tersebut semalam.

Perlawanan utama Falls Count Anywhere di antara penyandang juara Braun Strowman menentang “The Fiend” Bray Wyatt bagi perebutan Kejuaraan Universal WWE semalam menyaksikan kejuaraan tersebut bertukar tangan apabila The Fiend berjaya membenam The Monster Among Men. Namun belum sempat untuk meraikan kejayaan tersebut, The Big Dog muncul entah dari mana dengan menghadiahkan sebuah rempuhan bahu yang amat padu ke atas Wyatt.



Tidak cukup dengan itu, Roman turut membelasah Strowman dengan kerusi besi tanpa belas kasihan di luar gelanggang, seolah-olah menggambarkan dirinya bukan lagi Roman yang dulu dan kini tampil dengan persona lebih kejam dan agresif setelah hampir 8 bulan tidak beraksi di WWE.

Untuk rekod, kali terakhir Roman muncul adalah di acara Smackdown pada 20 Mac lalu dan terpaksa menarik diri daripada membuat kemunculan di WWE kerana enggan merisikokan dirinya dengan wabak Covid 19. Sebagai seorang bekas penghidap leukemia, Roman mengambil langkah yang bijak dengan mengesampingkan dirinya seketika bagi memastikan kesihatannya tidak terjejas. Natijahnya, Roman terpaksa menarik diri daripada beraksi menentang Goldberg di acara Wrestlemania 36 April lalu dan tempatnya telah digantikan dengan Braun Strowman.

Kini, setelah merasakan keadaan telah benar-benar selamat, Roman bangkit semula dan ingin menuntut semula haknya sebagai individu yang sepatutnya bergelar Juara Universal pada Wrestlemania yang lalu. Dendam kerana terpaksa duduk di bangku simpanan dan melihat individu lain yang menjadi juara pastinya semakin menyemarakkan lagi amarahnya dan isyarat jelas telah diberikan semalam dengan mendakwa bengkung kejuaraan yang dimenangi Wyatt semalam adalah miliknya.



Enggan Roman bertindak lebih ganas dan di luar kawalan, pengurusan WWE kini memberikan peluang buat bintang berusia 35 tahun ini untuk melampiaskan semua kesumat. Di acara WWE Payback yang akan bersiaran pada 31 Ogos ini, perlawanan tiga penjuru bagi merebut Kejuaraan Universal telah dimuktamadkan di antara sang juara The Fiend menentang mantan juara Braun Strowman dan Roman Reigns sendiri.

Adakah Roman akan berjaya merampas kejuaraan sekaligus mengenepikan cabaran daripada Strowman dan Fiend? Dan persoalan lebih utama, adakah Roman akan bertarung secara jantan atau akan menggunakan apa sahaja helah dan muslihat untuk bergelar juara dan menjadi seorang jaguh berhaluan kiri selepas ini? Semuanya hanya akan terjawab di acara Payback kelak.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Payback pada 31 Ogos depan serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.