Terbuka Stuttgart: Kejayaan tanah liat pertama Bencic selepas dua tahun 

By Shaiful Shamsudin 20 April 2021 20
 Terbuka Stuttgart: Kejayaan tanah liat pertama Bencic selepas dua tahun 
Belinda Bencic merakamkan kejayaan pertamanya di tanah liat sejak Kejohanan Tenis Terbuka Perancis 2019 apabila mengetepikan pemain remaja, Nastasja Schunk, dalam Terbuka Stuttgart, awal pagi tadi. 

Pemain nombor 12 dunia itu meraih kemenangan 6-4, 6-2 ke atas pemain kelayakan berusia 17 tahun itu yang menyelamatkan lima mata perlawanan dalam servis terakhirnya sebelum Bencic memuktamadkan kemenangannya. 

"Saya berusaha memperbaiki diri di gelanggang tanah liat," kata Bencic selepas kemenangan pusingan pertama itu.

"Saya rasa menjadi lebih baik dan kadang-kadang tidak menjadi. Saya cuba yang terbaik di atas permukaan ini."

Maria Sakkari turut selesa untuk melangkah ke pusingan berikutnya dengan menyingkirkan Andrea Petkovic 6-2, 6-2 dalam kemunculan pertama di pentas itu. 

Dalam Piala Istanbul pula, empat daripada lima perlawanan yang dijadualkan sempat diselesaikan sebelum hujan menghentikan pertarungan di antara Anastasia Pavlyuchenkova dan Anastasia Potapova. 

Pemain pilihan kelapan, Wang Qiang, bangkit daripada tewas dalam set pertama sebelum mengalahkan Anastasia Gasanova 4-6, 6-1, 6-2.

Ana Konjuh, Katerina Siniakova dan Viktorija Golubic turut mara selepas menumpaskan pencabar masing-masing.
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment