Terbuka Australia: Penonton kembali dibenarkan ke Melbourne Park

By Muzaffar Musa 17 February 2021 38
Terbuka Australia: Penonton kembali dibenarkan ke Melbourne Park
Peminat Kejohanan Tenis Terbuka Australia akan kembali dibenarkan ke Melbourne Park bermula esok selepas kerajaan Victoria mengesahkan penarikan semula perintah berkurung selama lima hari berikutan pandemik koronavirus.

Ketika jumlah penonton yang dibenarkan untuk hadir masih menjadi persoalan, penyokong akan kembali mengisi tempat duduk mereka bermula dengan aksi separuh akhir Terbuka Australia dengan perlawanan Serena Williams, yang sedang memburu gelaran ketiganya, menentang juara grand slam tiga kali, Naomi Osaka, di Melbourne.

Juara bertahan, Novak Djokovic, akan bertemu pemain muda yang mencuri tumpuan dalam kejohanan itu, iaitu pemain Russia daripada pusingan kelayakan, Aslan Karatsev -- yang turut merupakan pemain pertama layak ke separuh akhir dalam penampilan grand slam pertamanya.

Djokovic sedang beraksi di atas gelanggang ketika perintah berkurung itu diumumkan Jumaat lalu dengan perintah selama lima hari itu dilakukan bagi membendung mutasi koronavirus dari United Kingdom (UK).

Sebahagian pusingan ketiga, pusingan keempat dan suku akhir acara perseorangan lelaki berlangsung secara tertutup selepas penularan virus itu dikesan di kawasan Victoria.

 

About Author

Muzaffar Musa

Comment