Terbuka AS: Hamstring sekat hajat Osaka, Roland Garros hadkan penyokong 

By Shaiful Shamsudin 18 September 2020 80
 Terbuka AS: Hamstring sekat hajat Osaka, Roland Garros hadkan penyokong 
Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Naomi Osaka, terlepas menyertai satu lagi pertandingan grand slam tahun ini, Terbuka Perancis, kerana kecederaan hamstring.

Bintang Jepun itu meraih gelaran grand slam ketiga selepas membenam Victoria Azarenka dalam pertemuan final di New York, Sabtu lalu. 

Paha Osaka dilihat berbalut sepanjang kejohanan itu dan pemain berusia 22 tahun tersebut mengesahkan bahawa dia akan menarik daripada Terbuka Perancis dengan undian perlawanan berlangsung 27 September ini.

"Hai kawan-kawan, terima kasih banyak atas sokongan semua selama tiga minggu terakhir ini. Saya tidak dapat mencapai apa-apa kejayaan tanpa anda!" siarnya di Twitter.

"Malangnya, saya tidak akan dapat beraksi dalam Terbuka Perancis tahun ini. Hamstring saya masih sakit jadi saya tidak cukup masa untuk bersiap sedia -- dua kejohanan ini terlalu dekat di antara satu sama lain buat saya sertai kali ini. Saya doakan yang terbaik untuk penganjur dan pemain."

Keputusan terbaik Osaka di Roland Garros menyaksikannya melangkah ke pusingan ketiga sebanyak tiga kali termasuk pada 2019.

Dalam masa yang sama, ekoran lonjakan kes baru positif COVID-19,  10,593 pesakit, di Perancis memaksa penganjur menghadkan jumlah penyokong kepada 5,000 walaupun asalnya bercadang membenarkan 11,500 kemasukan penonton dalam satu masa. 
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment