Tenis Terbuka Eropah: Rublev padam kelebihan Tsitsipas muncul juara 

By Shaiful Shamsudin 28 September 2020 23
Tenis Terbuka Eropah: Rublev padam kelebihan Tsitsipas muncul juara 
Andrey Rublev menuju ke Roland Garros dengan menjamin gelaran ketiga musim ini selepas Stefanos Tsitsipas membiarkan kejuaraan Terbuka Eropah terlepas daripada genggamannya dalam perlawanan akhir di Hamburg, sebentar tadi.  

Menjelang Grand Slam Terbuka Perancis, Rublev dan Tsitsipas berentap di utara Jerman bagi memburu gemilang dalam kempen Jelajah ATP. 

Kedua-dua pemain akan tiba di ibu negara Perancis itu selepas mencatat keputusan yang memberangsangkan di gelanggang tanah liat.

Begitupun, Rublev muncul pemain yang lebih gembira ekoran kejayaan 6-4, 3-6, 7-5 dalam aksi final itu sekali gus meraih ganjaran €79,330 (RM384,915).

Rublev merangkul gelaran di Qatar dan Adelaide pada awal tahun ini sementara hanya Novak Djokovic yang memenangi lebih banyak kejohanan dalam siri jelajah musim ini menerusi 25 trofi berbanding pemain Russia berumur 22 tahun itu. 

Selepas masing-masing mengungguli dua set pembukaan, Tsitsipas selaku pemain keenam terbaik dunia kelihatan diambang kemenangan apabila mendahului 5-3. 

Namun, dia gagal menyempurnakan perjuangannya lantas membuka jalan buat Rublev meraikan gelaran pertamanya di peringkat ATP 500 selepas cemerlang dalam empat perlawanan.

Tsitsipas pula mengintai gelaran keduanya pada 2020 selepas memenangi yang pertama di Marseille Februari lalu tetapi dalam final ATP, rekod 5-7 jelas tidak memihaknya.

Justeru, kegagalannya membunuh permainan sekali lagi menimbulkan persoalan terhadap peluangnya untuk mara jauh di Paris dalam tempoh dua minggu lagi.
 
Rublev hanya pernah beraksi dalam Terbuka Perancis sekali, iaitu ketika terkandas dalam pusingan pertama tiga tahun lalu.

Dia berdepan akan berdepan pemain Amerika Syarikat, Sam Querrey, dalam pusingan awal sementara Tsitsipas menentang Jaume Munar dari Sepanyol.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment