Tenis Masters Monte Carlo: Andrey Rublev rasa luar biasa ke final 

By Shaiful Shamsudin 18 April 2021 95
 Tenis Masters Monte Carlo: Andrey Rublev rasa luar biasa ke final 
Andrey Rublev menyelami satu perasaan luar biasa apabila menempah tiket perlawanan akhir Kejohanan Tenis Masters Monte Carlo menentang Stefanos Tsitsipas.

Pemain Russia itu mengharungi seminggu yang luar biasa dalam acara Masters 1000 itu yang merangkumi kemenangan menakjubkan ke atas juara 11 kali, Rafael Nadal dalam suku akhir.

Rublev meneruskan kecemerlangannya dengan kemenangan 6-3, 7-5 ke atas Casper Ruud untuk memastikan perhitungan penentuan gelaran dengan Tsitsipas, malam ini. 

Tsitsipas mudah menundukkan Dan Evans -- yang mengejutkan Novak Djokovic di peringkat awal kejohanan -- untuk melolosi separuh akhir 6-2, 6-1.

 

Rublev menghasilkan kemenangan dalam tempoh 80 minit ke atas lawannya itu untuk melebarkan rekodnya kepada 24-4 musim ini -- catatan terbaik dalam Jelajah ATP.

"Ia adalah satu perasaan yang luar biasa -- ini merupakan perlawanan akhir Masters yang pertama buat saya, jadi saya sangat gembira," kata Rublev.

"Kami akan melihat apa yang akan berlaku dalam final. Saya akan berusaha melakukan yang terbaik.

"Casper adalah seorang pemain yang sangat mengagumkan terutama di tanah liat. Sejak awal lagi dia meletakkan keamatan yang sangat tinggi di atas gelanggang dan ia amat sukar bagi saya.

"Saya tahu bahawa saya perlu meningkatkan permainan sekiranya saya ingin mengatasinya kerana jika tidak, saya pasti akan kalah."

Rublev pernah mengalahkan Tsitsipas dalam straight set ketika merangkul gelaran ATP 500 di Rotterdam, bulan lalu.

Enam daripada lapan gelaran ATP yang diraihnya dimenangi sejak awal tahun lalu.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment