Skuad boling padang yang sebelum ini menjadi lubuk pingat emas buat Malaysia dalam Sukan SEA berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berjaya memastikan sukan itu tidak akan digugurkan dalam temasya kali-31 tahun depan.

Menurut ketua jurulatihnya, Zuraidi Puteh, Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) sedia membantu MOM dalam menangani situasi itu.

Ketika ini, PLBM sudah berbincang bersama Vietnam dalam membantu mereka menubuhkan skuad boling padang.

"Sangat mengecewakan jika tidak disenaraikan pada sukan SEA akan datang kerana boling padang merupakan lubuk emas untuk mendapat pingat emas.

"Kami akan berusahakn untuk memastikan boling padang disenaraikan semula dalam Sukan SEA tahun depan. Persatuan Boling Padang Malaysia dan MOM akan bekerjasama dengan Majlis Olimpik Vietnam dan Persatuan Boling Padang Vietnam bagi mengadakan sesi perbincangan bagi menyenaraikan acara boling padang dalam Sukan SEA nanti," kata Zuraidi, kepada Nadi Arena.

Bagi atlet negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi, pula berpandangan, "Memang ada terkesan dengan ketiadaan acara boling padang di Sukan SEA tahun depan kerana setiap dua tahun kami akan beraksi di Sukan SEA. Sekiranya memang ia tidak disenaraikan, kami akan memberi fokus kepada Sukan Asia."