Sukan SEA Vietnam 2021 bukan medan menebus kehampaan skuad bola sepak negara di Filipina dua tahun lalu selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak meletak sebarang sasaran malah lebih mengutamakan pendedahan buat pemain muda.

Biarpun prestasi ditampilkan Skuad Projek FAM-MSN belum mencapai tahap terbaik, barisan pemain itu tidak akan diketepikan dalam perancangan ke Sukan SEA.

Pengarah teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee, menjelaskan Vietnam menjadi platform persediaan buat skuad negara memburu pingat dalam Sukan SEA Kemboja 2023 serta kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

Ia susulan skuad B20 negara dengan gabungan pasukan Brad Maloney yang akan dipertaruhkan di Vietnam.

"Senarai pemain yang tersenarai antara yang beraksi dalam Liga Super dan ia juga akan diperkuat barisan pemain skuad projek MSN-FAM," kata Kim Swee.

Tambahnya, skuad muda negara akan dipanggil menjalani latihan berdasarkan kalander FIFA namun venue belum dapat dipastikan sehingga perbincangan dengan pihak berwajib.

"Mereka juga berlatih mengikut jadual yang sama seperti kem latihan skuad kebangsaan," kata Kim Swee.

Sementara itu, Kim Swee tidak melihat sebarang masalah jika pemain muda, Luqman Hakim Shamsudin turut disenaraikan dalam skuad negara ke Sukan SEA Vietnam biarpun dia telah menyertai kem latihan Harimau Malaya.

Bekas ketua jurulatih skuad B-23 tahun itu pasti ia dapat membantu Luqman menambah pengalaman dalam kariernya.

"Saya tidak nampak ia sebagai satu masalah yang besar dan saya percaya Luqman mahukan pendedahan. Dia mampu menghasilkan impak bersama pasukan Sukan SEA mahupun skuad yang bersaing dalam saingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia."