"Ganggu fokus atlet para negara."

Itu reaksi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, yang menyatakan tidak terkejut dengan keputusan pihak tuan rumah, Filipina, tetapi menegaskan situasi itu mengganggu tumpuan atlet yang sedang dalam persediaan akhir ke Sukan Para ASEAN.

Ia merujuk kepada beberapa keputusan saat akhir dalam penganjuran Sukan SEA lalu dan penundaan tarikh Sukan Para ASEAN oleh tuan rumah, Filipina, itu bukan sesuatu yang mengejutkan tetapi memberi kesan besar buat atlet negara.

Tegas Shapawi, barisan atlet negara ketika ini sudah berada dalam fasa terakhir persediaan dan keputusan sebegini sudah pasti mengganggu fokus dan tumpuan mereka pada saat-saat akhir.

"Atlet sudah pun mempersiapkan mental dan fizikal untuk menghadapi temasya pada 18 Januari depan.

"Tetapi dengan perubahan ini, ada dua bulan lebih lagi untuk mereka membuat pengubahsuaian," katanya.

MSN memutuskan untuk mengadakan kejohanan simulasi pada tarikh yang sepatutnya berlangsung Sukan Para ASEAN sebelum mereka kembali fokus kepada temasya sebenar pada Mac.

"Saya risaukan persiapan mental dan fizikal atlet yang sudah pun tertumpu kepada 18 Januari ini, jadi kami perlu buat sesuatu bagi memastikan ia diteruskan.

"Selepas itu, kami akan berehat sekejap untuk persiapan menghadapi tarikh baru," katanya lagi.

Shapawi menjadikan contoh kegagalan skuad pelayaran negara mengutip pingat emas dalam Sukan SEA lalu selepas jadual pertandingan itu terpaksa diubah pada saat-saat akhir ekoran ancaman Taufan Pisoy.