Prospek emas muay thai, Ain Kamaruddin, tidak gentar berhadapan lawan bertaraf dunia dengan menyasarkan kilauan pingat tanpa mengira warna dalam Kejohanan Dunia di Belarus dari 3-11 Mei depan.

Di Belarus nanti, anak jati Kelantan ini tidak mahu terlepas peluang dikalungkan pingat di samping mahu menjadikan kejayaan di Belarus sebagai pembakar semangat menjelang saingan Sukan SEA, Ogos depan.

Demi menepati sasaran emas yang di tetapkan kepadanya, Ain rela berhadapan tugasan lebih sukar daripada ujian sebenar.

Ini kerana kejohanan di Belarus itu menampilkan lawan lebih getir melibatkan atlet terbaik dunia walaupun sasaran utama Ain adalah emas Sukan SEA.

"Bagi saya, kecederaan bukan satu kerisauan kerana kami telah berlatih dari awal. Sakit itu sudah menjadi kebiasaan dalam sukan muay thai," katanya.

Jurulatih Muay Thai negara, Benard Radin, melabelkan sesi latihan fasa ketiga lebih tenang apabila setiap atlet sudah pun mengenal pasti sasaran peribadi mereka dan kini hanya perlu menyempurnakan persediaan akhir menjelang Kuala Lumpur 2017.

"Fasa ketiga ini lebih tenang kerana atlet tidak lagi bimbang dengan kedudukan mereka. Ketika ini, kami hanya fokus dalam perancangan spesifik untuk setiap atlet yang bakal bertanding," jelas Benard.