Sukan dua roda masih selamat

Oleh Nafis Abdullah 3 Mei 2020 33
Sukan dua roda masih selamat
Kebarangkalian untuk komuniti sukan permotoran dua roda negara kehilangan penaja musim ini mampu dielakkan seandainya perlumbaan tetap dijalankan secara tertutup.

Sukan permotoran antara kejohanan yang menerima tempias susulan penularan wabak Covid-19 tatkala kerajaan mengeluarkan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Bagi Pengarah Two Wheel Motor Racing Sdn Bhd, Ron Hogg, mereka bersedia untuk mengadakan perlumbaan secara tertutup, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang bakal dibincangkan bersama kerajaan nanti.

"Memang sukan permotoran boleh dijalankan tetapi kami masih belum menerima usul SOP. Saya rasa dalam tempoh seminggu ini, kami akan bincangkan SOP yang perlu. Buat masa ini, memang industri yang menyokong sukan cub prix serta rakan sokongan masih menyatakan komitmen," katanya.

Sementara itu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak terburu-buru memberi lampu hijau kepada barisan pelumba lebuhraya dan trek negara untuk mula menjalani latihan sehingga penetapan SOP daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dimuktamadkan.

"Perdana Menteri telah mengatakan bahawa sesi tidak boleh melebihi 10 individu. Jadi, walaupun ini satu perkara yang bagus tetapi saya rasa semua pihak perlu memainkan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan bahawa semua SOP ditetapkan tidak diabaikan," ujar Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh.
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Comment