CEV: Semangat Adam semakin membara

Oleh Muzaffar Musa 22 Jun 2020 807
CEV: Semangat Adam semakin membara
Semangat pelumba Moto2 CEV negara, Adam Norrodin, cukup membara untuk meletakkan sasaran podium bagi perlumbaan pertamanya di Portugal walaupun mengharungi pelbagai kepayahan berikutan pandemik Covid-19.

Walaupun hanya dapat kembali ke litar pada awal bulan ini, ia sudah mencukupi untuk membangkitkan keyakinannnya dalam mengibarkan Jalur Gemilang di Eropah bulan depan.

Sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, Adam terkilan kerana tidak dapat mempamerkan prestasi terbaiknya selepas bertungkus-lumus dalam sesi latihan.

Justeru, kepulangan semula perlumbaan itu jelas menggembirakannya.

"Saya rasa prestasi saya OK kerana banyak peningkatan dalam sebulan ini sehingga saya sendiri agak terkejut," katanya kepada Nadi Arena.

"Saya berasa lebih yakin dan pasukan saya sudah pasti akan menyediakan satu penalaan yang sangat baik untuk perlumbaan kali ini.

"Saya berasa amat yakin dan sasaran saya adalah untuk menjejak podium," katanya.

Barisan pelumba negara merancang untuk menetap di Eropah sehingga tiba giliran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bertindak sebagai penganjur.

Namun, perancangan itu kelihatan sukar disebabkan kelulusan visa yang ketat.

"Perlumbaan pertama ini melibatkan empat perlumbaan berturut-turut dalam seminggu.

"Ia agak membimbangkan saya kerana jumlah perlumbaan itu agak banyak.

"Tidak pernah saya menyertai empat perlumbaan dalam tempoh seminggu.

"Tetapa saya rasa kami sudah melakukan persiapan sebaik mungkin sepanjang bulan ini," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Comment