Atlet taekwondo negara, Ahmad Noor Iman Hakim Rakib, berpeluang untuk mencipta kejutan dalam Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Itali, Julai ini selepas mempamerkan tentangan sengit sebelum tewas tipis kepada atlet di ranking ketiga dunia dalam pusingan kedua Kejohanan Dunia di Manchester, England, minggu lalu.

Ahmad Noor Iman tewas kepada wakil Belgium, Jaouad Achab, dalam kategori bantamweight bawah 68 kilogram, namun ia merupakan pengalaman berharga buat atlet muda berkenaan.

"Ia satu pengalaman yang berharga buat saya untuk menentang atlet di ranking ketiga dunia.

"Walaupun kalah tipis, saya masih berpuas hati dan ia menjadi pembakar semangat saya untuk menyertai lebih banyak Kejohanan Dunia selepas ini," katanya.

Ahmad Noor Iman akan menyertai pusingan akhir Kejohanan Sirkit Kebangsaan di Kelantan bulan depan.

Selepas itu, dia akan menyertai Universiade di Itali, sebulan kemudian.

"Walaupun ia merupakan Universiade yang pertama buat saya, Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik dan membawa pulang pingat buat negara," tambahnya.

Skuad negara gagal membawa pulang sebarang pingat daripada Kejohanan Dunia di England, namun meraih beberapa mata kelayakan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.