Conor McGregor menganggap kekurangan aksi mendorong kekalahan mengejutnya kepada Dustin Poirier dalam pertarungan UFC 257, sebentar tadi.

Atlet dari Ireland itu ditumbangkan dalam pusingan kedua di Abu Dhabi kepada pencabar yang pernah ditewaskannya pada September 2014, apabila Poirier berjaya menumbuk kepala lawannya hingga menyebabkan McGregor tumbang sekali gus memaksa pengadil menghentikan perlawanan.

Senario kali ini berbeza memandangkan ini merupakan pertarungan pertama McGregor dalam masa 12 bulan dan yang ketiga sejak awal 2018.

Bekas juara lightweight itu mengatakan bahawa kekurangan aksi kompetitif menjadi jurang keupayaan mereka hari ini.

"Adalah sukar apabila anda tidak aktif dalam jangka masa yang panjang," kata McGregor.

"Sepakan saya bagus, sepakan rendah ke betis juga bagus, tetapi kaki saya kaku dan tidak berasa begitu selesa seperti yang saya harapkan.

"Saya sudah lama tidak aktif, tetapi Dustin adalah seorang pejuang dan jika anda kerap berkesempatan berada, meluangkan masa di gelanggang, anda akan menjadi semakin selesa dan itu saja.

"Saya harus mengatasinya dan bangkit semula. Itulah yang akan saya lakukan."



McGregor mendedahkan dia berasa "terseksa" dan berhajat untuk bertarung lagi tahun ini.

Sementara itu, Poirier percaya bahawa dia adalah juara lightweight yang sejati -- sekiranya Khabib Nurmagomedov (29-0) enggan keluar daripada persaraan.

"Saya anggap ini satu pertarungan penentuan gelaran," kata atlet dari Amerika itu.

"Sekiranya Khabib tidak kembali maka saya dan Conor adalah dua atlet terbaik, saya rasa ini adalah pertarungan merebut gelaran. Saya muncul juara."