Pasukan bertaraf benua, Terengganu Cycling Team (TSG), masih memantau perkembangan COVID-19 sebelum membuat pengesahan penyertaan dalam perlumbaan musim ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Nasiruddin Wan Idrus, buat masa ini kesemua pelumba tempatan TSG sudah memulakan latihan di dalam negeri sebagai persediaan awal.

Begitupun, situasi semasa katanya masih belum mengizinkan pasukan di ranking kedua Asia itu kembali berentap dalam perlumbaan kompetitif di luar negara.

Justeru, Nasiruddin menjelaskan panduan pihak berkuasa dan kerajaan serta Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sedang diteliti dengan terperinci dari semasa ke semasa.

"Demi keselamatan pelumba TSG, kami belum membuat keputusan mengenai status penyertaan dalam siri jelajah perlumbaan di seluruh dunia.

"Tapi barisan pelumba tempatan yang diketuai Mohd Zamri Salleh sudah berlatih sejak minggu lalu manakala lapan pelumba import kini berada di negara asal masing-masing," ujarnya.

TSG pada Mac lalu menarik diri daripada siri perlumbaan BSB120 di Brunei, Jelajah Tochigi di Jepun, Grand Prix Mediterranean (Turki), Bieras Serra de Estrella di Portugal.

Pasukan itu kemudian turut membatalkan penyertaan dalam Jelajah Thailand yang dijadualkan berlangsung 1 hingga 9 April lalu.

Kredit foto: Terengganu Cycling Team (TSG)