Terjun: MSN tidak panik situasi calon 10m platform seirama

Oleh Shaiful Shamsudin 2 Julai 2020 138
Terjun: MSN tidak panik situasi calon 10m platform seirama
Harapan pingat emas Sukan Olimpik menerusi sukan terjun tetap bernyala walaupun impian untuk menyaksikan penyatuan semula Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform seirama mungkin tidak kesampaian.

"Kami masih terbuka menerima pandangan dan cadangan. 

"Kalau Jun Hoong selesa untuk beraksi dalam acara individu sahaja, maka Majlis Sukan Negara (MSN) akan berikan sokongan. 

"Pandelela dan Leong Mun Yee merupakan gandingan terbaik ketika ini dan kami akan bantu (tingkatkan keupayaan mereka).

"Keserasian sangat utama supaya dapat meraih markah tertinggi berdasarkan strategi yang ditetapkan jurulatih. 

"Masih banyak masa untuk putuskan perkara ini, yang penting mereka dapat menjalani persiapan terbaik,"  kata Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

Jika gandingan Pandelela-Jun Hoong, yang meraih perak dalam Sukan Olimpik Rio, perlu dilupakan maka Mun Yee muncul pasangan lebih baik buat penerjun dari Sarawak itu berbanding Nur Dhabitah Sabri berdasarkan catatan terbaik yang pernah dilakarkan bersama.

Namun, ia harus disertai usaha luar biasa kerana sandaran China dalam temasya di Jepun tahun depan dijangka lebih hebat di sebalik menampilkan penerjun muda berikutan persaraan pemenang pingat emas di Rio, Chen Ruolin. 

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Comment