Juara bertahan Sukan Malaysia (Sukma), Terengganu, akur dengan keputusan penangguhan kejohanan itu yang dibuat Jawatankuasa Tertinggi Sukma, semalam.

Ekoran daripada penangguhan itu, jurulatih bagi setiap acara sukan ditugaskan memantau kecergasan serta kadar nadi atlet melalui capaian video harian.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata pemantauan itu penting selepas terjejasnya program latihan yang dihentikan akibat wabak Covid-19.

Menurutnya, Terengganu berharap tarikh baru Sukma dapat diumumkan lebih awal bagi memastikan jurulatih dapat merangka periodisasi latihan yang lebih sempurna.

"Latihan dari aspek kombinasi, teknik dan taktik tidak dapat diteruskan namun akan disambung secara agresif sebaik keadaan kembali pulih.

"Dalam mesyuarat semalam, tarikh baru akan ditetapkan segera tidak lewat daripada bulan Mei ini.

"Kerajaan Negeri sentiasa akur kepada sebarang keputusan dengan keutamaan diberikan kepada keselematan warga sukan," jelas Wan Sukairi, hari ini.