Tenang, tidak perlu panik -- Ali Hamid

Oleh Ammar Hakim 17 September 2020 117
Tenang, tidak perlu panik -- Ali Hamid
Di sebalik kekangan mendapatkan pendedahan kejohanan ekoran penularan Covid-19 sejak awal tahun, jurulatih lempar cakera negara, Mohamad Ali Hamid belum sedia untuk menekan butang panik.

Pengendali itu mahu anak buahnya menanamkan sifat positif menjelang Kejohanan Olahraga Terbuka Perak, November ini.

Itu penjelasan pengendali berpengalaman itu lebih-lebih lagi selepas struktur beberapa perancangan baru menerusi kem latihan dihadiri dirinya dan barisan atlet di Langkawi selama dua minggu awal bulan lalu. 

Menurutnya lagi, perubahan program latihan antara perkara yang akan diperhalusi dalam misi memperbaiki prestasi atletnya. 

Biarpun tiada kejohanan sehingga November, Ali berpandangan ini masa terbaik bagi memberikan keutamaan kepada merealisasikan balingan idaman. 

"Kami harus melihat kepada sudut positif, pertandingan pertama adalah pada November dan kini kami berpeluang untuk memperbaiki kemampuan daripada sudut fizikal dan teknikal," kata Ali.

"Saya yakin segala perancangan di landasan terbaik dan mampu menampilkan aksi yang cemerlang."

Sementara itu, atlet lempar cakera negara, Choo Kang Ni, optimis mampu menyasarkan sekurang-kurangnya balingan sejauh 51 meter.Ini bagi persiapan awal melayakkan diri ke Sukan Asia 2022 nanti.

"Jika berdasarkan perancangan, saya akan menyertai Sukan SEA terlebih dahulu namun saya yakin untuk melangkah ke Sukan Asia sekaligus mencapai sasaran yang telah ditetapkan," kata Kang Ni.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Comment