Atlet karate kumite negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, yang baru sahaja tiba di tanah air enggan memberi sebarang kenyataan berkenaan dakwaan dia terpaksa menarik diri daripada Kejohanan K1 di Jepun.

Dua minggu lalu, MAKAF mengesahkan dia berjaya menyelesaikan masalah berat badan dengan memiliki bacaan 55.8kg selepas berlatih di Phuket, Thailand bersama jurulatihnya, Andris Vasiljevs.

Bagaimanapun, difahamkan bahawa Syakilla hanya berjaya menurunkan berat badannya kepada 58kg daripada 63kg sebelum ini, lantas tidak melayakkannya bertanding dalam kategori 55kg

Syakilla berdepan masalah berat badan sejak tahun lalu hingga terpaksa menarik diri daripada deretan kejohanan, termasuk yang menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pernah mengumumkan Kejohanan K1 Jepun merupakan peluang terakhir Syakilla mewakili negara.