Terengganu akan memperbaharui kontrak semua jurulatih Sukan Malaysia (Sukma) yang akan tamat pada Julai depan sehingga berakhir kejohanan dwitahunan itu kelak.

Bagaimanapun, setiap jurulatih berdepan tindakan disiplin sekiranya melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), demikian tegas Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

Amaran itu dinyatakan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu, yang mahu barisan jurulatih kontinjen negeri itu memberi teladan kepada atlet dan patuh kepada arahan kerajaan.

Ibni berkata, pihaknya tiada masalah untuk meneruskan khidmat jurulatih-jurulatih sedia ada dengan syarat memenuhi sasaran MSNT serta menunjukkan disiplin yang baik.

"Terengganu kekal dengan misi juara keseluruhan dan penangguhan Sukma tidak akan menjejaskan kontrak mereka (jurulatih).

"Bagi yang kontraknya akan tamat pada bulan Julai, kami akan sambung lagi sehingga temasya itu berlangsung.

"Lebih baik jika acara sukan itu menunjukkan peningkatan dan Terengganu hanya mahu yang betul-betul berdisiplin membawa cabaran di Johor," ujar Ibni.

Ibni turut menjelaskan Jawatankuasa Tertinggi Sukma akan bermesyuarat selewat-lewatnya hujung bulan depan untuk memutuskan tarikh baharu Sukma ke-20.